Rabu, 21 Ogos 2013

PART1 : Pemergian Insan Tersayang

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Coretan kali ini  mengimbas kembali permergian insan tersayang dalam hidup saya, saya pasti semua sahabat mempunyai IBU,EMAK,MAMA,MUMMY,BONDA,UMMI dan berbagai macam lagi panggilan untuk wanita agung yang tiada galang gantinya.

Wanita yang saya maksudkan ialah HAZIZAH BINTI AMAT, nama ini tidak akan padam sama sekali dari ingatan saya buat selamanya, belum cukup puas rasa diri ini untuk bergurau senda dan bermanja namun saya sedar yang ALLAH lebih menyayangi beliau. Semuanya bermula ketika saya masih dibangku sekolah kurang lebih masa itu umur saya 14tahun, selama seminggu melihat keadan kesihatannya yang tidak stabil tidak terlintas langsung dalam fikiran yang Ibu akan pergi selamanya.

Pagi itu 12 November 1998, saya bangun pagi untuk ke sekolah agama seperti biasa saya akan mandi dan Ibu yang masuk itu kurang sihat masih mengagahkan diri membuat sarapan untuk anak-anaknya, sedang siap-siap hendak ke sekolah, saya lihat Ibu duduk di meja makan sambil termengah-mengah, sayu hati saya rasa macam tidak mahu ke sekolah sebab ingin menemani Ibu. Sebelum ke sekolah saya menghulurkan salam mohon restu untuk menimba ilmu dan pada masa sama Ibu menyatakan hasrat ingin benar minum air 100PLUS, lalu air itu di tenguk penuh nafsu katanya haus. saya membiarkan sahaja takut ia kempunan pula nanti.

Jam kurang lebih 12.00 tengahari, saya pulang ke rumah dan lihat Ibu terbaring sahaja di atas tilam dengan dirinya yang tidak bermaya. Saya terus ke dapur membantu Abah di dapur mengambil alih tugas Ibu memasak untuk santapan anak-anaknya yang akan pulang di petang hari nanti, sedang asyik membantu Abah di dapur, Ibu memanggil saya menyuruh saya ambil ayam yang diletakkan dibawah meja, saya menjadi pelik dan menyatakan pada Ibu tiada ayam dibawah meja tersebut lalu Ibu senyap tanpa berkata-kata, saya pun lalu terus ke dapur menyambung kerja-kerja membasuh pinggan, keasyikan membantu Abah tidak kedengaran di telinga yang Ibu memanggil saya sekali lagi, meluru terus ke depan mendapatkan Ibu dan bertanya jika ada apa-apa yang boleh dibantu, sekali lagi Ibu meminta saya mengalihkan sayur yang di letakkan di bawah kerusi pula, kebinggungan menlanda diri, tidak mahu memikir yang bukan-bukan, saya memanggil Abah ke depan untuk melihat keadaan Ibu yang menimbulkan kurang selesa berbagai persoalan bermain di minda ketika itu, saya menyatakan pada Abah mengapa Ibu bercakap yang bukan-bukan seolah benda yang tidak ada di adakan pula, Abah menasihati Ibu supaya berehat.

Petang itu, jam 1.00 tengahari Ibu memaklumkan sudah tidak dapat menahan lagi dan mohon menghantarkan ia ke hospital, kerana dirumah tinggal saya dan Ibu kerana Abah pergi menghantar budak ke sekolah, Abah meminta saya menyalinkan pakain Ibu, dengan menahan sebak dan sayu hati saya memakaikan Ibu baju kurung, dengan kudrat yang ada saya gagahi jua mengangkat Ibu supaya duduk untuk memakai ia pakaian terketar- 
ketar badannya selesai memakaikan Ibu pakaian dan anak tudung kami menunggu Abah pulang.

Tepat jam 1.30 tengahari Abah pulang, kami yang dari tadi sudah bersiap menunggu terus bergerak ke kereta , saya memapahnya dengan pelahan-lahan menaiki kereta, sebelum itu kakak saya menelefon rumah menanyakan keadaan Ibu, saya menyatakan yang mana Abah akan membawa Ibu ke hospital lantas kakak saya mohon untuk mengikut sama, dalam perjalanan ke hospital yang mengambil masa kurang lebih 30 minit, saya dapat melihat keadaan Ibu yang makin kritikal, peluh-peluh jernih menitik-nitik dan meleleh di setiap liang mukanya,syukur alhamdulillah sepanjang perjalanan ke hospital bagaikan tiada sebarang halangan semua lampu isyarat yang lalui semua nya hijau.

Jam 2.00 petang, kami sampai di hospital dan Ibu terus dirujuk ke jabatan kecemasan dan trauma, menunggu penuh debaran diluar wad membuatkan saya cemas dan gelisah bermacam-macam bermain di fikiran, kedua-dua tangan ditadah mohon pada ilahi agar menyelamatkan Ibu,

Jam 3.30 petang, doktor yang merawat Ibu keluar dan berjumpa Abah memaklumkan Ibu sudah tiada lagi buat selamanya, melihat raut wajah Abah menunduk dan mengelengkan  kepala, saya yang masih terpingga-pingga melihat wajah kakak yang berada disisi kelihatan sayu dan meraung kesedihan memberitahu saya yang Ibu sudah tiada lagi. Ya Allah luluh hati ini pada masa itu.

buat sahabat sekelian mohon saya menenangkan diri terasa sayu ingin meneruskan cerita ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan